UMNO akan terus sokong Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

UMNO akan terus sokong Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap dalam penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan selari dengan komitmen untuk memastikan kestabilan politik dan tadbir urus negara terpelihara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama parti juga mengambil maklum dan meneliti pelbagai saranan yang dikemukakan oleh jurucakap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO termasuk pandangan yang disuarakan oleh perwakilan dari negeri-negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa dokongan kita kepada kerajaan sedia ada adalah berkekalan,” katanya ketika berucap pergulungan Ucapan Presiden UMNO Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman berkaitan pendekatan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengadakan perbincangan dalaman melibatkan kepimpinan dan ahlinya.

Menurutnya, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan bahawa pembentukan kerajaan tidak boleh memenuhi semua tuntutan mana-mana pihak memandangkan Kerajaan Perpaduan dianggotai oleh 17 parti.

“Perkongsian kuasa dan pembahagian jawatan perlu mengambil kira semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan segelintir pihak dalam PKR yang menuduh Perdana Menteri tunduk kepada tekanan UMNO, sambil menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menekan Perdana Menteri dalam sebarang urusan.

“Bayangkan UMNO hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen, namun kita memperoleh lapan jawatan menteri termasuk wakil daripada parti komponen Barisan Nasional. PKR dan DAP pula memiliki jumlah kerusi yang jauh lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap para perwakilan dan ahli UMNO memahami realiti politik semasa serta menyedari bahawa Perdana Menteri sentiasa menghargai peranan dan sumbangan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin Perdana Menteri cukup menghormati dan menyayangi UMNO sebagai rakan strategik dalam pentadbiran negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN