Pas-UMNO berpecah bukan sebab akidah - Hadi Awang

Pas-UMNO berpecah bukan sebab akidah – Hadi Awang

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam yang berpecah kerana perbezaan pendekatan politik perlu kembali bersatu.

Menurut beliau, perbezaan politik khususnya melibatkan perlembagaan Pas dengan perlembagaan UMNO bukan perbezaan akidah dan ideologi.

“Malangnya, perbezaan pendekatan (politik) dijadikan sebab untuk berpecah sehingga ada kalangan UMNO yang terlanjur menganggap Pas lebih bahaya daripada DAP.

“Lalu mendakap DAP dan meninggalkan Pas kerana faktor sampingan dan jawatan. Inilah satu pendekatan yang salah daripada segi agama kita,” dakwanya menerusi catatan Minda Presiden Pas semalam.

Justeru Abdul Hadi menyeru agar Pas dan UMNO kembali bergabung dengan tidak menjadikan perbezaan pendekatan politik serta Perlembagaan parti sama sebagaimana perbezaan akidah sehingga dijadikan alasan berpecah-belah yang akhirnya melemahkan kekuatan umat Islam di negara ini.

Malah katanya, umat Islam di negara ini perlu mengambil teladan daripada kepemimpinan Rasulullah SAW dengan mengutamakan penyatuan dan perpaduan khususnya dalam kalangan bangsa Melayu, biarpun wujud perbezaan pendekatan politik.

“Kita wajib membebaskan bangsa kita daripada kejahilan agama yang mewajibkan kita bersatu menjadi bangsa yang kuat.

“Inilah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW yang bertindak menyatukan kabilah Arab dan semua kumpulannya,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang turut memetik surah Ali ‘Imran: 118–120 berkata, penyertaan UMNO dalam kerjasama politik menerusi Kerajaan Perpaduan telah dimanfaatkan DAP dan kelompok ekstrem tertentu bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kabinet serta mengekalkan pengaruh kuasa politik DAP.

“Benarnya kenyataan Allah apabila DAP dan kumpulan ekstremnya menjadikan penyertaan kalangan UMNO untuk membina kedudukan yang lebih kuat bagi mengekalkan kuasa politik mereka dalam Kabinet serta melakukan tindakan politik yang membahayakan kedudukan Melayu dan Islam,” katanya.

Dalam catatan itu juga, Abdul Hadi berkata, bangsa Melayu Islam wajib diberikan hak untuk memimpin negara ini .

Katanya, ia berdasarkan realiti politik semasa dan bukan sekadar dijadikan modal politik seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Ilmu politik Islam secara khusus meletakkan peranan bangsa dalam politik mengikut syariat yang menepati fitrah manusia (sifat tabii). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN