RUU tempoh PM: Salahkan pembangkang hanya tutup kelemahan kerajaan

RUU tempoh PM: Salahkan pembangkang hanya tutup kelemahan kerajaan

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan menyalahkan pembangkang sebagai punca kegagalan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri adalah hanya cubaan menutup kelemahan kerajaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan kononnya terdapat salah faham di peringkat pembangkang telah menyerlahkan sifat kebudak-budakan kerajaan.

Katanya, kegagalan kerajaan dalam isu ini adalah kegagalan sendiri dan bukannya orang lain.

“Semasa sesi perbahasan Parlimen, anggota pembangkang telah berulang kali menjelaskan bahawa sebarang cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri hendaklah diteliti dalam kerangka Perlembagaan yang luas.

“Ia terutama daripada sudut peranan dan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong bawah Perkara 43(2)(a) untuk melantik Perdana Menteri yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

“Selain itu, pihak pembangkang turut mencadangkan supaya apa-apa pindaan Perlembagaan berkait perkara ini hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja susulan implikasinya ke atas peranan, kedudukan dan kemuliaan institusi Raja-Raja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kekeliruan dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang menjadi punca mereka tidak menyokong RUU tersebut pada Isnin lalu.

Menurut Fahmi, ada wakil rakyat pembangkang menyangka RUU itu bertujuan untuk membolehkan Anwar Ibrahim kekal memegang jawatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat dengan teliti dan berhemah, selain mendapat sokongan konsensus yang meluas.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas kekal komited kepada usaha reformasi yang tulen, jujur dan berhemah dengan syarat ia dibuat secara bertanggungjawab, telus serta selari dengan kehendak dan semangat Perlembagaan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN