KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu menumpukan fokus sebagai alternatif kepada kegagalan Pakatan Harapan (PH), bukannya terus mencetuskan polemik siapa calon Perdana Menteri.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh gabungan PN dan membuat persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, perkara itu selari dengan penegasan Pengerusi PN yang baharu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang menekankan keperluan untuk memberi fokus kepada pengukuhan parti dan agenda rakyat.
“Tumpuan kita sekarang nak perkukuhkan PN dan hendak persiapkan diri ke arah pilihan raya. Rakyat sudah muak dan ingin melihat kita menjadi alternatif kepada kegagalan Pakatan Harapan (PH).
“Isu calon Perdana Menteri atau apa sekali pun bukan keutamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan bermaksud beliau ialah calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.
Katanya lagi, soal mengenai calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN dibuat selepas Pas bertegas mahukannya.
Kenyataan itu bagaimanapun dibalas kembali Ahmad Samsuri dengan menegaskan Muhyiddin juga bukan lagi calon Perdana Menteri.
Mengulas lanjut ketika ditanya mengenai dua sayap Bersatu iaitu Armada dan Srikandi Muda pada Perhimpunan Agung Bersatu September tahun lalu, sepakat menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Idris enggan mengulas lanjut perkara itu.
“Kita tidak fikir begitu, yang kita fikir sekarang ini hanyalah isu rakyat. Itu jelas,” katanya. – UTUSAN










