PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh memberi bayangan untuk berundur susulan mendapat kritikan selepas penganjuran konvensyen khas, minggu lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada membabitkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO atau melibatkan pentadbiran jawatan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
“Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri
“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini.
“Saya percaya jika niat kita baik demi agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya dalam hantaran Facebooknya semalam.
Beliau turut berkongsi gambar ketika konvensyen tersebut dalam hantaran berkenaan sambil menyatakan telah berusaha sebaik mungkin.
Dr. Muhamad Akmal sebelum ini membuat gesaan agar UMNO bekerjasama dengan Pas di blok pembangkang dan keluar daripada kerajaan perpaduan kerana pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu kaum, agama dan raja.
Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata parti itu kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Semetara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Shahidan Kassim tampil memberi kata-kata semangat kepada Dr Muhaad Akmal susulan bayangan pemimpin UMNO itu mengenai kemungkinan untuk mengundur diri daripada jawatannya.
Shahidan yang juga ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menyeru Akmal agar tidak menoleh ke belakang, sebaliknya terus bergerak ke hadapan meskipun berdepan ujian besar.
“Akmal, bila kita gerak ke hadapan, kita maju. Tidak boleh toleh belakang. Ujian Allah SWT besar. Terima dengan sabar. Insya-Allah kita menang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. – UTUSAN









