KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kehadirannya ke perhimpunan itu adalah atas kapasiti sebagai pemerhati selepas mendapat keizinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, beliau terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Ahmad Zahid dan menyatakan tidak akan datang sekiranya tidak mendapat keizinan.
“Saya telah bertanya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada saya dibenarkan hadir hari ini. Saya maklumkan bahawa sekiranya beliau tidak mengizinkan, saya tidak akan datang dan hanya akan hadir jika mendapat keizinan.
“Jadi, hari ini adalah hari yang sangat emosional bagi saya kerana dapat kembali ke perhimpunan parti saya. Insya-Allah, perkara-perkara yang baik akan menyusul selepas ini.
“Langkah demi langkah. Hari ini saya kembali sebagai pemerhati dan selepas ini saya akan melakukan apa yang perlu,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025, di sini semalam.
Dalam pada itu, Khariy turut membayangkan sesuatu yang lebih baik selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 semalam.
Bagaimanapun bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak memperincikan perkara itu sama ada ia menyentuh mengenai hala tuju politik pada selepas ini.
Terdahulu, Khairy mencuri perhatian perwakilan selepas membuat kemunculan pertamanya di Perhimpunan UMNO sejak dipecat pada Januari 2023.
Beliau mengiringi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh masuk ke dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini bagi menghadiri persidangan sayap parti itu.
Turut hadir, seorang lagi bekas Ketua Pemuda UMNO, Tan Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mengulas mengenai tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, Khairy berkata, keputusan itu adalah langkah berprinsip bagi memastikan garis merah UMNO tidak dilanggar oleh mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, Akmal akur dengan keputusan parti untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik negara. – UTUSAN










