PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa tidak menolak dalam usaha untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) sekali gus bekerjasama semula dengan UMNO.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sebarang kemungkinan untuk mengadakan kerjasama politik dengan UMNO adalah terbuka malah kerjasama sedemikian juga pernah berlaku.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang berkata, pendekatan terbuka amat penting dalam landskap politik semasa khususnya bagi memastikan kestabilan negara dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Kita harus terbuka untuk usaha-usaha memperkukuh kerjasama antara semua elemen yang ingin berbakti kepada pertiwi. Bentuk kerjasama dan namanya boleh dibincangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Pas dilaporkan bersetuju dengan cadangan Muafakat Nasional (MN) yang menyaksikan kerjasama antara UMNO dan parti itu dihidupkan semula.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk menghidupkan semula MN merupakan kunci kepada kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tiada penolakan mutlak terhadap sebarang bentuk kerjasama, sebaliknya semua kemungkinan perlu dinilai secara rasional dan berasaskan keperluan semasa negara.
Katanya, kerjasama politik antara Bersatu menerusi PN dan UMNO pernah terjalin di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sebelum ini Bersatu pernah memutuskan untuk menyertai MN tetapi tidak jadi kenyataan. Tetapi kerjasama PN dan UMNO berlaku pada zaman Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
“Kerjasama itu ada pasang surutnya. Tetapi pokoknya ia pernah berlaku,” katanya. – UTUSAN










