Kerajaan Perpaduan perlu diperkukuh sehingga PRU16 - Zahid

Kerajaan Perpaduan perlu diperkukuh sehingga PRU16 – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamid berucap pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan perlu diperkukuhkan dengan sokongan bukan sahaja ahli parti malah oleh ahli Parlimen UMNO.

Katanya, beliau berpegang teguh kepada pendirian itu yang merupakan keputusan UMNO yang telah dibincangkan di semua peringkat sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak meragukannya (sokongan akar umbi terhadap keputusan UMNO untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan hingga PRU16), seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Ini bukan soal pendirian saya, ini pendirian parti yang saya bawa bukan sahaja ke Mesyuarat Biro Politik malah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO, tiga tahun lalu.

“Saya berpegang teguh kepada pendirian itu. Kerajaan Perpaduan harus diperkukuhkan dengan sokongan bukan sahaja ahli parti malah Ahli Parlimen sendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan bertanding solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Ahmad Zahid berkata, UMNO akan membuat ketetapan menjelang pilihan raya tersebut.

“Apabila kita berdepan pilihan raya umum walaupun UMNO bertanding solo namun ia tidak bermaksud kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan garis panduan.

“Pada masa sama, penubuhan kerajaan seterusnya (selepas PRU16) adalah berdasarkan berapa jumlah kerusi diperoleh, berapa kuat atau lemah sokongan diberikan kepada calon UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN