Jangka hayat politik Pas jauh lebih lama daripada UMNO

Jangka hayat politik Pas jauh lebih lama daripada UMNO

bersatu
 AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas yakin jangka hayatnya dalam gelanggang politik tanah air jauh lebih lama berbanding UMNO.

Membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai harapan untuk Pas terbubar dengan sendirinya, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau tidak berkehendak mengambil serius ucapan sepintas lalu tersebut.

Sebagai respons ringkas, katanya, setiap kata-kata pasti dikeluarkan sesuai dengan zamannya.

Memberi contoh ucapan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada 2015, katanya, Najib pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Melayu akan menjadi bangsat apabila UMNO kalah’.

“UMNO telah kalah pada 2018 dan tidak pun boleh dikatakan menang pada 2022, walaupun menyertai kerajaan pada hari ini. Soalan saya, adakah Melayu sedang menjadi ‘bangsat’ sekarang ini?

“Jika benar Melayu menjadi bangsat seperti dakwaan itu, maka apa yang sedang UMNO usahakan untuk memartabatkan kembali Melayu, selain daripada bersama DAP dalam kerajaan?,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia secara berseloroh berharap Pas akan terbubar selepas UMNO meminda Perlembagaannya dengan meletakkan Islam sebagai asas parti.

Beliau mengimbau kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwanya pernah berkata ‘UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya maka Pas akan dibubarkan’.

Ahmad Zahid juga menyifatkan kenyataan Nik Aziz itu sebagai wasiat sehingga membawa kepada pindaan Perlembagaan UMNO pada 2019 sebaik beliau mengambil alih tampuk kepimpinan.

Ahmad Fadhli berkata, jika dibandingkan dengan ucapan Nik Aziz yang dipetik Ahmad Zahid, Allahyarham tidak pun bersumpah dengan nama Allah seperti dilakukan Presiden UMNO dalam pendirian tidak akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Baguslah UMNO telah menukar dasar kepada Islam, tetapi dengan situasi UMNO berada di dalam kerajaan dan boleh menukar dasar pada bila-bila masa seperti hari ini, sangatlah lebih utama untuk Pas terus kekal berdiri.

“Saya tidak mendoakan UMNO bubar kerana UMNO masih punya peranan dan juga kekuatannya yang tersendiri, ada sumbangan yang masih diperlukan daripada UMNO. Tetapi jika dibandingkan dengan Pas, saya kira dan amat yakin hayat politik Pas jauh lebih lama daripada UMNO, insya-Allah.

“Kerana di dunia ini tidak ada yang kekal melainkan Allah sekadar respons ringkas kepada Datuk Seri Presiden UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN