SHAH ALAM: Dewan Pemuda Pas Selangor menggesa Pas pusat memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyarankan pembentukan gabungan baharu khususnya dengan UMNO.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, gabungan baharu perlu dibentuk sama ada membina semula Muafakat Nasional (MN) menjadi MN 2.0 atau dengan nama lain bagi memastikan kepentingan rakyat khususnya Melayu dan Islam.
“Saya lihat, kali ini maaf PN khususnya hubungan dengan Bersatu tidak bawa ke mana, khususnya dengan pengkhianatan yang berlaku dan Pemuda Pas Selangor bertegas supaya Pas pusat memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kita maju ke depan dengan membawa gabungan yang lebih ramai.
“Gabungan baharu atau reset mesti dilakukan sekarang, kebetulan kita masuk tahun baharu, gabungan politik Melayu mesti digabungkan. Oleh itu, sama ada UMNO atau mana-mana pihak kita mesti bentuk kerjasama untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook Pemuda Pas Selangor, hari ini.
Dakwanya, beliau kecewa dengan pengkhianatan yang berlaku antara Pas dan Bersatu sehingga mencetuskan krisis dan pertukaran Menteri Besar di Perlis.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli, Khamis lalu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Justeru, Mohamed Sukri menyeru penyokong Pas supaya berterusan menyokong parti walau dalam apa jua gabungan atau gerakan yang dilakukan oleh pimpinan.
“Kepada penyokong Pas, teruskan menyokong parti dalam apa juga gabungan yang kita berada. Lebih penting lihat betapa kita konsisten dalam membawa perjuangan rakyat. Pas tidak pernah berubah dasar dan prinsip dan perjuangan.
“Apa yang berlaku, setiap pakatan politik yang kita bersama, rakan-rakan kita sentiasa mengkhianati, mengambil kesempatan. Jadi, kita perlu bertindak kerana di depan sana kemaslahatan rakyat itu menjadi keutamaan.
“Kalau kita terus biarkan keadaan ini berlaku, saya yakin lebih terbantut gerak kerja kita untuk memenangi pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah dilapor menyatakan pendekatan kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membenarkan rampasan kuasa berlaku di Perlis boleh ditafsir bahawa parti itu sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan Pas.
Beliau berkata, peristiwa berkenaan wajar mendorong Pas untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama Bersatu.
Katanya, jika Pas kekal tenang dan mengizinkan rampasan kuasa itu berlaku, ia akan memberi gambaran bahawa Pas bukan parti yang mudah bertindak atas emosi. – UTUSAN










