PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd. Naim Kurniawan Moktar tidak berniat bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag meskipun wujud cadangan agar namanya diketengahkan sebagai calon.
Katanya, keputusan menamakan calon adalah hak parti dan bukannya keputusan peribadi dengan sebagai ahli yang setia, apa sahaja keputusan parti akan dipatuhi sepenuhnya.
“Sebagai Pengarah yang diamanahkan untuk mempertahankan kemenangan Barisan Nasional di Pilihan Raya Negeri, saya sedar betapa besar sentimen menggantikan Allahyarham ayahanda saya.
“Saya hargai sokongan yang mahu saya sendiri bertanding, namun calon adalah keputusan parti dan bukanlah keputusan peribadi semata-mata. Selaku ahli yang setia, saya menghormati sepenuhnya apa sahaja keputusan itu.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Lamag yang menerima Allahyarham Ayahanda saya sebagai pejuang mereka. Secara peribadi, saya tidak berniat untuk bertanding di sini kerana Lamag harus dikembalikan kepada anak jati Lamag untuk meneruskan perjuangannya,” katanya dalam Facebook.
Sebelum ini, terdapat cadangan agar Naim Kurniawan diketengahkan sebagai calon mewakili BN dalam PRK DUN Lamag ekoran kematian bapanya iaitu Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Naim Kurniawan turut menggariskan beberapa kriteria calon tidak boleh dikompromi BN antaranya calon mestilah anak jati Lamag yang lahir, membesar dan menetap di kawasan tersebut, berusia bawah 50 tahun bagi memastikan kecergasan serta keupayaan menggalas amanah dengan lebih berkesan.
Selain itu, katanya memiliki tahap pendidikan yang mampu memimpin masyarakat dengan ilmu tinggi serta mempunyai kesetiaan dan teguh kepada perjuangan parti sebagaimana pernah ditunjukkan oleh Bung Moktar.
Beliau turut membuka ruang kepada mana-mana individu yang memenuhi kriteria tersebut untuk tampil bersama ke medan perjuangan.
Katanya, beliau sanggup mempertaruhkan maruah dan bekerja habis-habisan demi memastikan kemenangan calon BN di Lamag.
“Lamag kini perlukan pemimpin yang berani, dekat dengan rakyat dan sanggup bertempur demi agama, bangsa dan tanah air. Tanpa ragu, tanpa gentar,” tegasnya. – UTUSAN










