Kedudukan MIC dirujuk ke Dewan Tertinggi BN Januari depan

Kedudukan MIC dirujuk ke Dewan Tertinggi BN Januari depan

AHMAD Zahid Hamidi ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pakej Lengkap Desa Kirana dekat Dataran Pantai Batu 23, Sungai Nibong, di Sabak Bernam, Selangor, semalam. - MIINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kedudukan parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC akan dirujuk ke Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Januari depan.

Keputusan sama ada kekal atau sebaliknya akan ditentukan dalam mesyuarat yang turut dianggotai kepemimpinan MIC susulan parti itu sebelum ini memaklumkan berhasrat untuk keluar daripada gabungan berkenaan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan ditentukan secara kolektif menerusi perbincangan dalam mesyuarat itu nanti.

“Jadi kita akan ada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Januari tahun depan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Pakej Lengkap Desa Kirana, di sini semalam.

Jelasnya, bagaimanapun pertembungan MIC itu tiada kaitan dengan UMNO dan ia tidak akan ditentukan penyelesaiannya melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang juga berlangsung pada Januari depan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu beliau memberi kebebasan kepada perwakilan dari Sabah yang sudah membuat persiapan perjalanan untuk menghadiri PAU 2025 atau membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag.

Beliau berkata, bagaimanapun perhimpunan tersebut juga akan disiarkan secara langsung di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Sabah di Kota Kinabalu bagi membolehkan perwakilan yang berkempen juga mengikuti perjalanan PAU 2025 nanti.

“Saya sudah meminta agar perwakilan-perwakilan dan sahabat untuk membantu PRK di Kinabatangan dan Lamag. Namun jika mereka sudah membeli tiket dan menempah bilik, kita tidak menghalang untuk mereka hadir,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Projek Desa Kirana menyasarkan menarik seramai 100,000 pelancong ke 25 kawasan itu di seluruh negara menjelang akhir Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Sasaran itu dijangka mampu dicapai apabila kawasan desa kini menjadi tumpuan pelancong khususnya dari Jepun dan Korea, berbanding pusat bandar yang menawarkan pelbagai tarikan dan kemudahan.

Ahmad Zahid berkata, warga desa tidak seharusnya menjadi penonton semata-mata kemasukan pelancong ke negara ini, sebaliknya perlu diberi ruang untuk meraih peluang ekonomi tempatan.

Untuk itu katanya, projek pelancongan Desa Kirana merupakan sebahagian daripada agenda TMM 2026 dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama persatuan-persatuan pengusaha inap desa.

“Masyarakat kampung harus mengambil peluang untuk mempromosikan produk-produk perdesaan (Desa Kirana) yang menumpukan peluang kepada pelancong-pelancong menikmati budaya, seni, tradisi, makanan ataupun suasana perkampungan.

“Kerjasama dua kementerian dengan persatuan pengusaha inap desa, kita menjangkakan pelancong terutamanya dari Jepun dan Korea amat berminat untuk datang ke kawasan perdesaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN