KOTA KINABALU: Sebanyak empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertembungan antara tiga parti kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ia membabitkan kerusi DUN Karamunting, Kamabong, Mayog dan Bandau.
BN misalnya bertembung dengan PH di DUN Karamunting apabila parti tu mempertaruhkan seorang calonnya, Chin Kim Hiung daripada MCA manakala PH pula menampilkan, Datuk George Hiew daripada PKR.
Selain itu, PH berentap dengan rakan kerjasama politik, GRS di Kemabong ekoran DAP menamakan bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual sebagai calon kelapan mereka di kerusi berkenaan bagi mencabar penyandang kerusi daripada GRS, Datuk Rubin Balang yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Selain itu, mereka juga berdepan BN yang mempertaruhkan Rahmah Jan Sulaiman daripada UMNO sebagai calonnya.
Bagi kerusi Mayog pula, PH yang diwakili calon PKR, Remysta Taylor berdepan calon GRS, Ir Joeynodd Aiiko Roland Bansin.
Satu lagi kerusi adalah Bandau apabila PH meletakkan calon PKR Zaidi Jatil yang berdepan cabaran calon GRS, Datuk Redonah Bahanda
Sebelum ini, PH dan GRS mencapai perjanjian bahawa tiada pertembungan, begitu juga perjanjian parti itu bersama BN. – UTUSAN










