SHAH ALAM: Pemimpin dan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang memegang jawatan dalam kementerian dan kerajaan diingatkan supaya bersiap sedia meninggalkan pejabat jika tidak lagi memegang jawatan selepas berlaku rombakan Kabinet.
Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, kehilangan kedudukan dalam kerajaan oleh pimpinan Amanah boleh berlaku jika prestasi ahli parti dilihat tidak meningkatkan keyakinan rakyat.
“Jadi, bersedialah letak kotak dalam pejabat. Dalam pejabat saya ada satu bilik stor yang penuh dengan kotak. Saya selalu peringatkan dan harus ingat, kita ada dua kementerian sahaja. Dulu kita selalu ingat, bila kita fikir hilang jawatan, pangkat kerana kita hilang kerajaan, tak betul.
“Kadang-kadang bila kita ada kerajaan tetapi kita bila boleh hilang kedudukan kita. Kita ada dua menteri sahaja. Rombakan Kabinet melibatkan kementerian pergi ke kementerian lain,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah 2025, hari ini.
Dalam Amanah, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad merupakan Menteri Kesihatan sementara Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Ketua Angkatan Wanita Amanah, Datuk Aiman Athirah Sabu pula merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi bayangan akan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengambil sikap mengunci mulut dan enggan melayan spekulasi berhubung kemungkinan berlaku rombakan tersebut dalam masa terdekat.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pimpinan atau ahli yang memegang jawatan perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ada berapa ramai yang akan terlibat kepada rombakan itu, kerana bukan seorang menteri yang terlibat, semua dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), lantikan-lantikan. Baik orang muda ambil air sembahyang lebih-lebih. Jangan leka.
“Sebab itu bila diberikan amanah, tanggungjawab, laksanakanlah sebaik mungkin kerana kita adalah duta kepada parti kita di peringkat akar umbi dan kementerian, mesti jayakan. Bukan semata-mata semua diletakkan di bahu menteri. Kita adalah imej parti kita,” tegasnya. – UTUSAN










