TAWAU: Bekas Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Datuk Rina Jainal menyifatkan penggantungan jawatan dan keahlianya dalam parti, tiga hari sebelum penamaan calon, cubaan sabotaj terhadap karier politik beliau.
Menurut penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan itu, ia merupakan keputusan mengejut dan menimbulkan persoalan besar mengenai niat sebenar di sebalik penggantungan pada saat genting menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN Sabah).
“Saya sendiri terkejut apabila menerima makluman berhubung penggantungan ini. Kenapa dua hari sebelum penamaan calon? Tindakan ini amat pelik dan dilihat seperti ada niat tertentu untuk menyekat saya daripada bertanding,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Rina berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat, beliau tidak pernah meletakkan jawatan dan sentiasa aktif melaksanakan tanggungjawab terhadap penduduk Kukusan.
“Apa juga isu dalaman sepatutnya boleh dibincangkan secara baik dalam semangat kekeluargaan parti,” katanya.
Katanya, keputusan drastik itu turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi dan memberi kesan terhadap persiapan jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat akar umbi yang sebelum ini sudah bersedia menghadapi pilihan raya.
“Ramai penyokong GRS, khususnya di Kukusan, kecewa dan keliru dengan keputusan ini kerana mereka tahu saya sentiasa bekerja keras untuk rakyat dan parti,” katanya.
Menurut beliau, penggantungan itu bukan sahaja mengecewakan, malah dilihat sebagai langkah tersusun untuk menyingkirkannya menjelang PRN.
“Saya melihat tindakan ini sebagai satu cubaan sabotaj terhadap saya dan terhadap usaha GRS di kawasan Kukusan,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran politik tidak dijangka, Rina menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasannya.
“Saya menghormati keputusan parti, namun saya juga berhak mempertahankan diri dan menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat. Perjuangan saya tidak berakhir di sini,” katanya.
Rina memaklumkan, beliau akan menilai langkah seterusnya selepas berbincang dengan penyokong serta keluarga terdekat sebelum membuat keputusan berhubung masa depannya dalam politik.
DUN Kukusan dimenangi Rina pada PRN 2020 atas tiket Warisan, namun meninggalkan parti itu pada Jun 2022 dan kemudian menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS). – UTUSAN










