Hospital Tawau cipta sejarah laksana pembedahan secara sedar

Hospital Tawau cipta sejarah laksana pembedahan secara sedar

RINA JAINAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Hospital Tawau berjaya melakar sejarah dengan melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar yang pertama di Pantai Timur Sabah.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan dan kesiapsiagaan kepakaran tempatan dalam mengendalikan kes berisiko tinggi tanpa perlu bergantung kepada hospital luar daerah.

“Alhamdulillah, pembedahan ini berjalan dengan jayanya apabila kita sendiri dapat melihat kerjasama rapat antara pakar dari Kota Kinabalu yang turun bersama pasukan di Hospital Tawau.

“Ini kali pertama dilaksanakan di Pantai Timur Sabah, di mana pesakit berada dalam keadaan sedar ketika pembedahan bagi membolehkan fungsi otak dipantau secara langsung dan memastikan keberkesanan prosedur,” katanya etika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama asnaf dan warga Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) Peringkat Daerah Tawau, di sini, semalam.

Menurut Rina, pencapaian itu selaras dengan usaha memperkasa Hospital Tawau sebagai hospital rujukan utama di Pantai Timur Sabah yang mampu menawarkan perkhidmatan kepakaran lebih tinggi.

“Dengan adanya pakar dan kemampuan melaksanakan prosedur seperti ini, kita tidak lagi terlalu bergantung kepada tenaga luar. Ia memberi kelegaan kepada pesakit dan keluarga kerana mereka boleh mendapatkan rawatan kepakaran di daerah sendiri tanpa menanggung kos perjalanan dan penginapan yang tinggi,” katanya.

Pembedahan yang dijalankan pada 23 Januari lalu itu mengambil masa kira-kira dua jam setengah menerusi kolaborasi strategik antara pasukan Pembedahan Saraf Hospital Tawau bersama pakar bius neuro dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Queen Elizabeth II (HQE2). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN