TAWAU: Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara pada pukul 10.45 pagi, hari ini.
Rina hadir bersama suaminya, Mohd. Rizal Ismail, dalam suasana tenang dengan aliran pengundi yang konsisten sejak pagi tadi. Beliau merupakan penyandang kerusi Kukusan selepas memenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.
Pada PRNSabah kali ini, Rina bakal berdepan saingan sengit 10 penjuru, termasuk cabaran daripada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Samsiah Usman yang mewakili Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Kawasan Kukusan kini mempunyai 19,225 pengundi berdaftar, dengan lebih 1,700 pengundi muda berusia 18 tahun yang pertama kali turun mengundi menjadikan peratusan pengundi baharu antara faktor penting yang berpotensi mempengaruhi keputusan. – UTUSAN









