PRN Sabah: BN bayangkan tanding kerusi lebih kecil 

PRN Sabah: BN bayangkan tanding kerusi lebih kecil 

BUNG Moktar merasmikan Sentuhan Kasih Desa @ Libaran di Dewan Serbaguna Libaran di Sandakan, hari ini. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Sabah membayangkan bertanding jumlah kerusi lebih kecil berbanding sasaran awal 48 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), 29 November ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN akan membuat pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk mencari kesepakatan mengenai pembahagian beberapa kerusi yang belum selesai minggu hadapan.

“Isu berkaitan rundingan kerusi antara BN dan PH itu tidak boleh ditangguhkan memandangkan penyokong akar umbi parti semakin bimbang dengan kaedah pembahagian kerusi yang belum dimuktamadkan.

“Ketika ini, rundingan berkaitan perkara itu sudah mencapai 70 peratus.

“Bagaimanapun, masalah yang timbul apabila kedua-dua pihak berhasrat untuk bertanding pada PRN itu,” katanya ditemui selepas menghadiri Sentuhan Kasih Desa @ Libaran di Dewan Serbaguna Libaran di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan program berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama BN dengan PH sehingga hari ini belum muktamad memandangkan masih ada beberapa kerusi perlu diperhalusi antara dua parti.

“InsyaAllah saya akan berjumpa dengan pimpinan PH untuk selesaikan perkara itu dalam waktu terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar turut memberi pandangan mengenai cadangan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi sebagai calon ketua menteri jika calon PH itu menang pada PRN.

“Semua calon berhak untuk menyatakan mereka layak menjadi calon, namun realitinya hanya boleh ditentukan selepas pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud mengesahkan Ruji tersenarai calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN