Penangguhan pemilihan Amanah dibawa ke mesyuarat jawatankuasa

Penangguhan pemilihan Amanah dibawa ke mesyuarat jawatankuasa

Pemilihan Amanah
MOHAMAD Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan perbincangan di peringkat jawatankuasa nasional bagi menentukan sama ada pemilihan parti diadakan tahun depan atau ditangguhkan.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu, perbincangan itu akan mengambil kira dua cadangan utama yang dikemukakan pimpinan sama ada meneruskan pemilihan seperti lazimnya atau menangguhkannya mengikut peruntukan dalam perlembagaan parti.

“Kita akan bincang di peringkat mesyuarat nasional, memang ada peruntukan dalam peraturan dan perlembagaan yang membenarkan penangguhan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri konvensyen parti di sini, hari ini.

Dalam ucapan penggulungannya di Konvensyen Amanah 2025, Mohamad menegaskan pentingnya pembinaan lapisan kedua kepimpinan sebagai kesinambungan perjuangan parti yang kini memasuki usia satu dekad.

Beliau turut mengakui bahawa kepimpinan wanita kini semakin menonjol dan tidak mustahil seorang wakil Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) bakal memimpin parti suatu hari nanti.

“Sekarang ini kursi AWAN sentiasa penuh. Tidak pelik jika suatu hari nanti Presiden Amanah datang daripada kalangan wanita,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Dalam nada penuh keinsafan, Mohamad turut mengingatkan agar perbezaan pandangan dalam parti diurus dengan hikmah dan semangat persaudaraan, sambil menzahirkan keyakinan bahawa Amanah mampu terus bertahan kerana berteraskan kerja berpasukan dan bukan individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN