SHAH ALAM: MIC mahu kembali kepada perjuangan asal partinya dengan membentuk jajaran baharu dan strategik untuk kekal menjadi jambatan kepada suara masyarakat India kepada kerajaan.
Malah parti itu mahu terus ke hadapan dan enggan mengimbau kenangan gabungannya dalam perikatan, sebaliknya akan berdepan dengan segala tindakan yang pernah dilakukannya termasuk kesetiaan bersama Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Tan Sri S. Vigneswaran Sanasee berkata, MIC tidak boleh diminta kekal setia kepada satu gabungan dalam mempertimbangkan kelangsungan masa depannya.
“MIC tidak akan minta maaf kerana membuat pilihan untuk memperkasakan masyarakat kita dan tidak akan dipengaruhi dengan naratif yang dirancang untuk membungkam kita,” katanya dalam ucapan dasar di hadapan 1,808 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79, hari ini.
Jelasnya, beliau mahu MIC tidak lagi memikul beban kesetiaan kepada BN selama ini yang dianggap sebagai ‘bergantung’, sebaliknya boleh bergerak bebas meneroka kerjasama strategik.
“Dalam percaturan politik, kita mesti bertanya satu soalan jujur, mengapa timbul kekecohan apabila MIC meneroka kerjasama politik baharu atau penjajaran yang strategik?
“Apabila Pakatan Rakyat bersama Pas ia disebut reformasi, UMNO bersama pas disebut penyatuan ummah. Tetapi bila MIC mempertimbangkan untuk berhubung dengan Pas, tiba-tiba ia menjadi isu. Tiba-tiba ia tidak dapat diterima.
“Tiba-tiba MIC diminta untuk berdiam diri dan terkurung dalam batas politik yang ditetapkan oleh orang lain,” tegasnya.
Vigneswaran Sanasee menambah MIC selama ini kekal setia kepada UMNO dalam BN walaupun ketika parti tunjang Melayu itu berdepan kemerosotan pengundi dan tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sehingga dituduh MIC hanya ‘menari mengikut rentak abang sulung’.
“Namun ironinya (apabila BN bersama Kerajaan Perpaduan) kita pula dihukum, disingkirkan daripada Kabinet, diketepikan dalam rundingan kerusi dan masalah komuniti kita diabaikan.
“Pada 2018, ketika MCA membangkitikan keputusan sama ada meninggalkan BN selepas kekalahan kita. MIC lah yang berdiri teguh dan mengajak mereka (UMNO) untuk tetap bersama gabungan yang kita bina selama ini,” ujarnya.
Dalam perhimpunan hari ini, perwakilan MIC dijangka membahaskan usul-usul termasuk keputusan untuk membentuk jajaran baharu bersama gabungan lain dengan meninggalkan BN atau sebaliknya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan jangkaan MIC keluar daripada BN dan menerima pelawaan menyertai Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih besar berbanding MCA.
Sumber berkata, perbincangan antara MIC dan PN dilihat lebih positif berbanding satu lagi parti komponen BN itu. – UTUSAN










