KOTA BHARU: Krisis dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk pemecatan beberapa pemimpin menjejaskan persiapan Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana organisasi, pertubuhan atau parti politik yang mempunyai krisis dalaman boleh memberikan kesan tidak baik.
Justeru, beliau meminta rakan dalam gabungan PN memberi tumpuan ke arah memperkukuh perpaduan dan kestabilan politik sesama mereka.
“Ia bukan soal Bersatu sahaja tetapi parti lain yang berdepan beberapa isu dalaman. Ini bukan masa sesuai berdepan masalah.
“Sebaliknya kita perlu menstabilkan kedudukan masing-masing. Jadi saya berharap semua perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya selepas majlis perasmian Pasar Berek 12 oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di sini, hari ini.
Takiyuddin yang merupakan Ketua Whip PN berkata, beliau tidak mempunyai maklumat untuk mengulas mengenai pemecatan beberapa pemimpin Bersatu itu.
Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahlian parti itu berkuatkuasa serta-merta.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang yang juga MPT Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal.
Lembaga Disiplin Bersatu berkata, selain Wan Saiful, turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris. – UTUSAN










