KIMANIS: Kehadiran bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam beberapa program bersama pengundi di Sabah tidak menimbulkan sebarang isu kerana ia dibuat atas kapasiti peribadi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengambil maklum perkara terbabit dan turut meneliti ucapan Khairy ketika program kempen calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin, semalam.
“Saya meneliti wawancara beliau turun ke Sabah adalah membantu calon-calon yang juga sahabat peribadi beliau.
“Beliau turun membantu empat calon dan hanya seorang daripada BN manakala tiga calon lagi bukan daripada BN.
“Oleh kerana itu sahabat beliau, ia hak beliau untuk membantu calon-calon yang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Desa @ Bongawan bertempat di Dewan Terbuka Pekan Bongawan, di sini, hari ini
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN yakin berada pada landasan terbaik untuk meraih sokongan pengundi menjelang pusingan terakhir kempen PRN Sabah meskipun semua calonnya dianggap sebagai ‘underdog’ atau bukan pilihan.
Katanya, pendekatan turun menyantuni pengundi secara konsisten telah memberikan impak positif terhadap penerimaan masyarakat pada pelbagai Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Calon-calon BN ialah calon-calon ‘underdog’ dan kita bekerja dengan kaedah untuk menyantuni para pengundi, dan kita yakin dengan kerja-kerja yang telah dilakukan itu telah memuaskan hati pengundi-pengundi yang menjadi sasaran kepada kami.
“Insya-Allah mereka akan memberikan undi itu kepada kami,” katanya.
Beliau berkata jentera BN sedang memperkemas gerak kerja terakhir bagi memastikan sokongan kekal kepada parti itu utuh sehingga hari pengundian.
“Bagaimanapun, kita harap di last lap atau pusingan yang terakhir ini, kita tidak mengalami sebarang masalah untuk memenangi kerusi-kerusi yang menjadi sasaran kemenangan kepada kita. Insya-Allah,” katanya.
Ditanya mengenai bentuk masalah yang dibimbangi, Ahmad Zahid memberikan contoh usaha pihak lawan menarik pengundi BN pada saat akhir.
“Dicuri oleh parti lain umpamanya supaya tidak berlakulah. Saya minta pengundi-pengundi Barisan Nasional istiqamah, konsisten dan tetapkan pendirian. Kerana kalau mereka mahu dan rindu kepada BN, maka teruslah untuk mengundi calon-calon yang mewakili Barisan Nasional,” katanya. – UTUSAN










