SANDAKAN: Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah lebih kecil dan mudah diselesaikan berbanding memenuhi keinginan perubahan rakyat dalam pilihan raya.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masalah dalaman dihadapi Bersatu tidak menjejaskan persiapan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula minggu depan.
Katanya, rakyat di Sabah lebih memikirkan soal negeri, parti yang bertanding pada PRN serta apa tawaran parti berkenaan, bukannnya masalah dalam Bersatu.
“Krisis dalam Bersatu adalah perkara kecil dan lebih mudah diselesaikan, berbanding dengan apa yang rakyat negeri ini mahukan dalam pilihan raya.
“Justeru, krisis dalaman tidak memberi risiko terhadap kerusi yang bakal ditandingi Perikatan PN pada PRN17,” katanya pada Pelancaran Jentera PN Sabah di Dewan Hakka, di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, jumlah kerusi akan ditandingi PN akan diumumkan serentak dengan pengumuman calon pada 11 November dan disusuli tawaran manifesto.
Katanya, PN yakin memenangi beberapa kerusi dalam PRN Sabah berdasarkan tinjauan di lapangan dan sambutan memberangsangkan di kebanyakan kawasan.
“Banyak tempat kita fikir tiada ada penyokong, tetapi nampak mereka sambut dengan meriah dan ini adalah petanda kita mungkin boleh menang di beberapa kawasan,” katanya.
Mengenai kemungkinan PN bergabung dengan Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Muhyiddin berkata, pihaknya mempunyai pengalaman yang tidak baik dengan parti itu.
Katanya, parti komponen sedia ada dalam PN sudah memadai dan jentera parti sudah bersedia untuk berdepan pilihan raya. – UTUSAN










