PRN Sabah: GRS, PH potensi jadi 'king maker'

PRN Sabah: GRS, PH potensi jadi ‘king maker’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka boleh menang lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) di Sabah.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Romzi Ationg berkata, sekiranya kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dimuktamadkan, pakatan tersebut berpotensi untuk tampil lebih dominan berbanding parti-parti lain.

Beliau berkata, istilah ‘king maker’ tidak semestinya merujuk parti yang mendapat kerusi majoriti tetapi mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan.

Malah, katanya, PRN17 juga dijangka tiada mana-mana parti yang mampu mendominasi keputusan dan menang selesa.

“Tiada mana-mana parti yang boleh mendapat majoriti signifikan disebabkan sentimen semasa yang terdedah dengan isu kenegerian, rasuah, kepincangan urus tadbir dan terkini melibatkan kematian Zara Qairina.

“Ramai ahli politik yang mengambil kredit dengan memanipulasi isu kematian tersebut, sehingga berkempen di Sipitang (selatan Sabah).

“Perlu diingat, parti Warisan juga masih mempunyai kubu kuat di bahagian pantai timur Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 20 kerusi DUN yang dimenangi dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi dijangka menjadi sasaran parti-parti utama yang bertanding dalam PRN17 Sabah tidak lama lagi.

Malah, semua kerusi tersebut dikatakan berisiko berpindah milik kepada pihak lawan dan menjadi penentu kemenangan PRN17 terutama di kerusi-kerusi yang merekodkan majoriti di bawah 700 undi.

Ditanya mengenai kerusi marginal yang menjadi tumpuan parti politik, Romzi berkata, terdapat kemungkinan kerusi tersebut boleh beralih arah.

Bagaimanapun, katanya, pengundi lebih bijak kerana melihat keperibadian calon yang bertanding di kawasan yang ditandingi.

“Contohnya di DUN Karambunai, penyandangnya, Datuk Yakub Khan (Barisan Nasional) hanya meraih majoriti 16 undi. Selepas menang, beliau dilihat bekerja keras di kawasan tersebut dan boleh meningkatkan lagi jumlah undian yang bakal diterima kelak.

“Pada masa sama, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar itu turut berdepan risiko kehilangan kerusi jika dipengaruhi sentimen semasa. Begitu juga di DUN Kukusan yang berbeza 10 undi sahaja,” katanya.

Felo Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan kerjasama antara GRS dan PH sukar diterjemah di Sabah walaupun kerjasama tidak rasmi wujud di peringkat Persekutuan.

Ini kerana, katanya, disebabkan ideologi GRS yang lebih hampir kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding PH.

“Jika GRS terlalu berpaut kepada PH, parti itu berisiko kehilangan sokongan pengundi tradisi konservatif termasuk penyokong Islam.

“Malah, naratif ‘Sabah First’ yang dilaungkan GRS juga boleh terjejas dengan kehadiran PH, yang dilihat sebagai parti nasional berpusat di Semenanjung dan mempunyai dominasi bukan Bumiputera, khususnya melalui DAP.

“Kerjasama ini boleh membuka ruang kepada UMNO-BN untuk tampil semula sebagai kuasa alternatif, lebih-lebih lagi dengan kekuatan mereka di kawasan luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN