STAR umum rasmi bertanding solo PRN17

STAR umum rasmi bertanding solo PRN17

ANUAR GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan secara rasmi untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, keputusan itu dibuat berlandaskan aspirasi akar umbi yang mahu pentadbiran negeri dipimpin sepenuhnya oleh parti tempatan tanpa campur tangan agenda luar.

“Mereka (rakyat) yang menentukan dan yang mengundi. Bagaimana saya boleh menentang rakyat?” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jeffrey menegaskan parti itu tidak akan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya gabungan itu meneruskan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Kelmarin, dua parti komponen GRS iaitu STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) sah meninggalkan gabungan itu selepas mengumumkan keputusan untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing pada pilihan raya kali ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh kedua-dua pemimpin STAR dan SAPP dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kelmarin.

Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut memutuskan bahawa keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS tamat serta-merta, sekali gus menyaksikan kedua-dua parti bergerak solo menjelang PRN17.

Sementara itu, Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata, keputusan bertanding solo dibuat selepas meneliti perkembangan politik semasa termasuk tawaran GRS kepada PH untuk bertanding sebanyak 21 hingga 23 kerusi.

Menurutnya, cadangan asal STAR yang hanya membenarkan PH mempertahankan tujuh kerusi penyandang di bawah logo GRS.

“Langkah ini bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah. Jika GRS memilih bergerak solo, STAR akan bersama. Tetapi jika GRS memilih bersekongkol dengan PH dan BN, STAR tidak boleh menyokong kerana ia menentang suara majoriti rakyat,” katanya.

Beliau menambah, STAR rela kehilangan kedudukan demi mempertahankan maruah negeri dan melihat langkah bertanding secara solo sebagai pengorbanan berani untuk memastikan perjuangan ‘Sabah for Sabahan’ benar-benar terlaksana.

“STAR menegaskan perjuangan ini adalah untuk memastikan pentadbiran negeri dipimpin sepenuhnya oleh parti-parti tempatan, demi maruah, keadilan, kemerdekaan dan masa depan Sabah yang berdaulat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN