Bekas Naib Presiden STAR sertai Gagasan Rakyat

Bekas Naib Presiden STAR sertai Gagasan Rakyat

ABIDIN Madingkir (kiri) menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Masidi Manjun - IHSAN GAGASAN RAKYAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Abidin Madingkir secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama 30 bekas Ahli Jawatankuasa STAR Bahagian Paginatan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan itu menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu majlis di sini, semalam.

Majlis terbabit turut disaksikan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Turut mengemukakan permohonan menyertai parti itu ialah bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman; bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hisyamuddin Harun; bekas Timbalan Ketua Bahagian STAR Paginatan, Jius Konsuling serta bekas Ketua Pemuda STAR Paginatan, Hillary Salmeon.

Abidin berkata, lebih 3,000 penyokong STAR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan dijangka akan mengikut jejak langkah beliau menyertai Gagasan Rakyat kerana yakin parti berkenaan merupakan wadah terbaik untuk memperkukuhkan perjuangan parti tempatan di Sabah.

Katanya, keputusan meninggalkan STAR dan menyertai Gagasan Rakyat dibuat selepas pertimbangan yang teliti demi meneruskan perjuangan politik menerusi sebuah parti yang mengutamakan kepentingan Sabah dan rakyatnya.

“Gagasan Rakyat membawa aspirasi rakyat Sabah di samping memperkukuhkan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya komited memperluaskan pengaruh Gagasan Rakyat di peringkat akar umbi selain bekerjasama rapat dengan kepimpinan parti bagi memastikan agenda pembangunan Sabah terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Masidi berkata, penyertaan Abidin bersama bekas pemimpin STAR itu mampu memperkukuhkan lagi Gagasan Rakyat sebagai parti tempatan yang mendukung agenda pembangunan negeri, kestabilan politik serta memperluaskan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) November lalu, Abidin bertanding atas tiket GRS di kerusi DUN Paginatan, namun tewas kepada calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Rusdin Riman dalam saingan 10 penjuru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN