KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bakal berdepan persaingan enam penjuru bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bung Moktar dicabar calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari; Mohd. Saifulah Lokman (WARISAN) dan Mazlin Madali (Perikatan Nasional).
Selain itu, Salahuddin@Salehuddin Anoi (Parti Impian Sabah) dan calon Bebas, Mohd Ismail Ayob.
Bung Moktar yang juga Pengerusi UMNO Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag yang dimenanginya sejak PRN 2020.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bung Moktar berkata, BN tidak perlu bergantung harap kepada pihak lain untuk memperoleh kemenangan kerana parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.
“Kita ada kekuatan sendiri dan pastinya kita tidak bergantung dengan kelemahan parti lawan.
“Lagipun segala gerak kerja telah dijalankan lebih awal untuk pertahankan kerusi kita. Jadi ia tidak menjadi masalah untuk kita terus mengekalkan kerusi-kerusi yang kita tandingi,” katanya.
Terdahulu, sejurus pusat penamaan calon dibuka 9 pagi, Bung Moktar menyerahkan borang pencalonannya pukul 9.02 pagi.
Selain DUN Lamag, penamaan calon bagi dua lagi kerusi DUN dalam Parlimen Kinabatangan iaitu Sukau dan Kuamut turut berpusat di sini.
DUN Sukau menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Jafry (BN), Datuk Juhari Janan (GRS); Pengiran Petra Pengiran Asri (PN); Azahari Rangon (WARISAN); Roslan Madali (PIS); Afiq Anwari Zulkifli daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Nordin Damit daripada Perjuangan Rakyat (PR).
Bagi kerusi DUN Kuamut pula, penyandang kerusi itu, Datuk Masiung Banah (GRS) bakal dicabar Mohina Ronnie Sidom daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Norfaizah Chua (Warisan), Ted Kelvin Sudin (PIS), Jevronnie Mandek daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Abu Bakar Ellah daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), John Sungkiang daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan calon bebas, Duin Bintarang.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berdepan saingan 11 penjuru bagi DUN N.16 Karambunai pada PRN Sabah.
Calon lain turut bertanding di DUN Karambunai ialah daripada Barisan Nasional, Parti Bumi Kenyalang, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Gemilang Anak Sabah, Gabungan Rakyat Sabah, Parti Damai Sabah, STAR, Warisan, Parti Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Impian Sabah.
Pengurus Pilihan Raya N.16 Karambunai, Fulan Abdullah mengumumkan senarai nama-nama calon yang bertanding pada Majlis Penamaan Calon bagi DUN tersebut di Dewan Maksak Likas, di sini semalam. – UTUSAN










