Zizie Izette tiba di mahkamah bagi keputusan akhir kes subahat rasuah RM2.8 juta

Zizie Izette tiba di mahkamah bagi keputusan akhir kes subahat rasuah RM2.8 juta

ZIZIE IZETTE ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tiba di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini bagi mendengar keputusan sama ada beliau akan dilepas dan dibebaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu hadir mengenakan sut berwarna kelabu sebelum prosiding di hadapan Hakim Rosli Ahmad bermula.

Hakim dijangka memutuskan kes di akhir pembelaan setelah selesai mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak hari ini.

Terdahulu, mahkamah menetapkan hari ini bagi menyampaikan keputusan terhadap Zizie Izette, 48, selepas mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai lalu.

Sepanjang prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, manakala Zizie Izette diwakili peguam K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad memperoleh suapan tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.

Zizie Izette dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Untuk pertuduhan ketiga pula, Zizie Izette didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang turut didaftarkan atas namanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati pada 12 dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika disabitkan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN