JOHOR BAHRU: Parti MCA sudah membuat persediaan sepenuhnya termasuk mengukuhkan kekuatan jentera tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 27 November nanti.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA Sabah bukan baharu bertapak di negeri itu, sebaliknya telah beroperasi sejak 34 tahun lalu dan diterajui oleh pimpinan tempatan yang berpengalaman.
Katanya, beliau baru pulang dari Sabah dan yakin dengan persiapan yang dilakukan, tambahan pula MCA sudah beroperasi dio negeri itu sejak 34 tahun lalu.
“Rata-rata pula dipimpin oleh anak tempatan Sabah, jadi tidak timbul sebarang isu,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor di Taman Johor Jaya, di sini hari ini.
Ka Siong turut meminta semua pihak agar dapat menunggu pengumuman rasmi Barisan Nasional (BN) berhubung senarai calon MCA yang akan bertanding nanti.
Katanya, walaupun nama-nama calon sudah dihantar kepada pucuk pimpinan parti, keputusan muktamad hanya akan ditentukan selepas watikah rasmi dikeluarkan oleh BN.
“Nama memang sudah dihantar, tetapi itu belum bermakna seseorang itu calon. Kena tunggu watikah dulu. Siapa akhirnya dipilih, itu akan diumumkan oleh Pengerusi BN,” katanya lagi. – UTUSAN










