KANGAR: Penerimaan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin positif sekali gus menjadi petanda kebangkitan parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, selepas beberapa kali pertukaran kerajaan pasca PRU14 pada 2018, rakyat boleh menilai dan membuat perbandingan prestasi kerajaan BN terdahulu dalam membangunkan negara.
Katanya, dalam masa sama, rakyat juga boleh melihat sendiri bagaimana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perkhidmatan menteri-menteri dan wakil rakyat UMNO.
“Kita lihat penerimaan rakyat terhadap UMNO semakin positif dan rakyat sendiri boleh nilai serta buat perbandingan kerajaan terdahulu dalam membangunkan negara ini.
“Sepanjang kita jadi pembangkang, sekejap menjadi kerajaan dan pada hari ini menjadi sebahagian daripada kerajaan, rakyat boleh nilai daripada pelbagai perspektif. Mungkin rakyat tidak suka dengan beberapa orang pemimpin, tetapi janganlah menghukum secara keseluruhan, belajarlah nilai dengan adil dan rasional.
“Lihatlah sendiri bagaimana prestasi menteri, timbalan dan wakil-wakil rakyat kami daripada segi gerak kerja dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia kelmarin dilaporkan berkata, PRN Sabah adalah peluang terakhir untuk UMNO dan BN memperlihatkan prestasi terbaik.
Kata Ahmad Zahid, ia bukan soal persediaan untuk PRU16 sahaja tetapi juga PRN Melaka dan Johor yang mana ia akan menjadi cerminan kepada keupayaan mereka berhadapn cabaran lebih besar.
Ujar Timbalan Perdana Menteri itu, walaupun akan bertanding solo menggunakan logo BN dalam semua pilihan raya, tetapi mereka tidak ada masalah bekerjasama dengan mana-mana parti terutama dalam membentuk kerajaan.
Tambah Fathul Bari, prestasi dan KPI para pemimpin UMNO di kementerian atau jabatan diketuai mereka selain di kawasan masing-masing, menjadi penanda aras untuk rakyat menilai siapa yang mampu memimpin negara.
Sementara itu, kata Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar, UMNO juga perlu menerima hakikat dalam berdepan serta menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa. – UTUSAN










