PARLIMEN: Tempat duduk Wan Saiful di Dewan Rakyat dipersoal

PARLIMEN: Tempat duduk Wan Saiful di Dewan Rakyat dipersoal

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat ‘hangat’ seketika apabila seorang penyokong kerajaan mempersoalkan kedudukan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN – Tasek Gelugor) di Parlimen kerana kekal di tempat asalnya walaupun dipecat parti.

Khoo Poay Tiong (PH – Kota Melaka) bangkit mempersoalkan perkara itu kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng ketika mencelah sebaik Wan Saiful selesai membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Pertanyaan itu menyebabkan Dewan Rakyat kecoh seketika dengan suara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Poay Tiong berkata, Wan Saiful sudah pun dipecat daripada partinya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun masih kekal di kedudukan sama di dalam Dewan Rakyat iaitu blok pembangkang.

“Seperti kita maklum, Tasik Gelugor dah dipecat daripada partinya jadi kenapa dia masih duduk di tempat sama, dia sekarang (Ahli Parlimen) bebas ke masih dalam pembangkang atau bagaimana?,” soalnya.

Keadaan semakin gamat apabila Poay Tiong menyindir Wan Saiful kerana masih mahu bersama Bersatu sedangkan di luar menentang Ahli Parlimen Pagoh iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden partinya.

Bagaimanapun, Wan Saiful menjelaskan, beliau masih duduk di blok pembangkang kerana menunggu keputusan rayuan yang sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi Bersatu.

“Yang Dipertua, dalam parti kita (Bersatu) ada peraturan membolehkan rayuan dijalankan. Sehingga tamat tempoh rayuan itu, keputusan belum muktamad.

“Kalau (Poay Tiong) hendak kursus mengenai Perlembagaan Bersatu, saya boleh bagi, saya pun tahu juga,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Bersatu memecat Wan Saiful dan empat Ketua Bahagian Bersatu, selain menggantung keahlian Ahli Majlis Tertingginya yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Tindakan itu dikaitkan dengan dakwaan pembabitan mereka dalam gerakan akuan berkanun (SD) bagi menjatuhkan Muhyiddin, selain insiden kekecohan susulan laungan ‘Turun Tan Sri’ ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, pada September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN