ALOR SETAR: Falsafah pendidikan kebangsaan mesti disemak semula agar roh Islam menjadi tunjang utama dalam menangani pelbagai isu salah laku pelajar di sekolah termasuk masalah seksual dan buli.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, krisis moral dalam kalangan pelajar ketika ini dipercayai berpunca daripada kegagalan sistem pendidikan memupuk nilai rohani dan adab Islami.
Katanya, fokus yang hanya tertumpu kepada sokongan psikososial serta disiplin sahaja tidak mencukupi kerana ia bersifat reaktif dan bukan pencegahan.
“Pendidikan mesti membentuk manusia berilmu dan berakhlak kerana tanpa pendidikan berasaskan akhlak, sistem hanya melahirkan generasi berilmu tetapi tidak beradab.
“Kementerian Pendidikan (KPM) masih gagal menegakkan prinsip maqasid as-syariah dalam mendidik pelajar. Prinsip hifz al-‘ird (memelihara maruah) dan hifz al-nafs (memelihara nyawa) mesti menjadi dasar utama pendidikan Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Katanya, keputusan Lembaga Tatatertib Sekolah menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap pelajar yang didapati bersalah amat wajar kerana tindakan itu selaras dengan kaedah Islam bahawa hukuman harus mencegah kejahatan dan mendidik masyarakat agar menghormati batas syariat.
Ujarnya, hukuman tatatertib berkenaan wajar difahami sebagai bentuk ta’dib (pendidikan disiplin) yang mendidik dan bukannya bertujuan untuk menzalimi.
“Ia memberi mesej jelas bahawa sekolah tempat membina akhlak, bukan medan kejahatan tersembunyi. Islam juga menegaskan hukuman bukan hanya bersifat punitif tetapi berperanan mendidik jiwa dan mencegah masyarakat daripada mengulangi kemungkaran,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Pelan Nasional Keselamatan dan Akhlak Sekolah juga perlu digubal segera dengan panduan ulama, ahli pendidikan dan pakar psikologi Islam bagi memastikan setiap sekolah menjadi benteng nilai dan keselamatan murid.
Menurutnya, Menteri Pendidikan wajar diberikan peranan memimpin sendiri reformasi sistem keselamatan dan akhlak pelajar menerusi pelan tersebut.
Beliau turut mencadangkan agar pusat pendidikan akhlak berasaskan bimbingan agama dan tanggungjawab sosial bagi pelajar yang dibuang sekolah diwujudkan, kerana didikan Islam bukan bersifat hukuman semata-mata tetapi melalui penginsafan.
“Diharapkan juga KPM menubuhkan Unit Perlindungan dan Keselamatan Pelajar Nasional (UPKPN) bagi memantau dan menyelaras kes salah laku berat pelajar selain menyediakan pelan perlindungan bersepadu untuk mangsa.
“Unit ini juga boleh melatih guru dan pentadbir menangani kes moral berasaskan prinsip fiqh tarbiah dan akhlak Islam,” katanya. – UTUSAN










