PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO perlu menyatakan pendirian berhubung jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN, Oktober ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan itu dipersoal selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menerima Trump sebagai tetamu kehormat.
“Rakyat sedang menunggu penjelasan. Dahulu, Amanah mendakwa mereka parti yang berprinsip dan tidak tunduk kepada arahan.
“Pemimpin mereka juga pernah lantang menentang penjajahan Israel dan mengecam AS dalam isu Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook hari ini
Tuan Ibrahim berkata, kehadiran Trump ke Malaysia adalah tidak wajar memandangkan beliau dilihat sebagai antara watak penting yang menyokong tindakan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Kita tertanya-tanya, di manakah suara Amanah hari ini? Mengapa mereka terus berdiam diri apabila Trump dijemput ke Malaysia, sedangkan tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin?,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menggesa UMNO tidak terus berdiam diri kerana tindakan itu hanya dilihat sebagai satu bentuk sokongan terhadap kehadiran Trump.
“UMNO tidak boleh kekal membisu. Dunia sedang mengecam kekejaman Israel dan AS tetapi di Malaysia, pemimpin kerajaan seolah-olah bersikap diam dan pasif,” katanya.
Katanya, tindakan membisu dalam isu berkaitan kezaliman terhadap rakyat Palestin amat mengecewakan dan menyakitkan hati umat Islam di negara ini yang bersolidariti dengan perjuangan rakyat Gaza.
“Kita mesti menyatakan pendirian dengan jelas. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan yang dilaknat kerana memilih untuk diam dalam isu yang memerlukan suara kebenaran,” katanya. – UTUSAN










