Noh dedah pelbagai kisah kontroversi dalam bibliografinya

Noh dedah pelbagai kisah kontroversi dalam bibliografinya

Noh Omar
NOH Omar bersama Ismail Sabri Yaacob melihat buku Tanjong Karang ke Putrajaya: Meniti gelora politik pada majlis pra pelancarannya di Kota Damansara, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terdapat dua insiden dianggap sebagai perkara yang tidak diketahui umum diceritakan oleh bekas anggota Kabinet, Tan Sri Noh Omar sepanjang karier politiknya yang bermula sebagai Presiden Kelab UMNO United Kingdom dan Eire ketika menuntut di negara itu pada 1986.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal itu berkata, pendedahan itu dibuat menerusi penerbitan buku pertama bibliografi dan perjalanan politiknya yang ditulis oleh bekas Setiausaha Sulit Kanannya, Datuk Saiful Bahar Arshad bertajuk ‘Tanjong Karang ke Putrajaya: Meniti gelora politik’.

“Terdapat dua untold story yang ditulis pada dua bab dalam buku yang saya tidak pernah dedahkan kepada sesiapa berkaitan perubahan kerajaan (sejak 2018) serta kisah disebalik pemecatannya daripada UMNO.

“Saya tidak pernah bercadang untuk menerbitkan buku, tetapi dicadangkan oleh Saiful Bahar supaya ditulis kerana terdapat beberapa sejarah penting negara mungkin sebenarnya tidak diketahui umum,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ringkas pra pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, malam tadi.

Beliau berkata, buku tersebut mengandungi 19 bab terbitan Toko Buku Azbakia yang mengisahkan perjalanan beliau mengemudi pelbagai kementerian termasuk sewaktu pertama kali menjadi Setiausaha Parlimen ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Keempat.

Tambah Noh, buku setebal 169 muka surat itu turut menceritakan pengalamannya kali pertama menyertai politik ketika menyertai Kelab UMNO di United Kingdom serta kisah persahabatannya dengan Ismail Sabri ketika bersekolah di Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu memberitahu, beliau bersedia berdepan kritikan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tercuit dengan kisah-kisah yang ditulis di dalam buku Tanjong Karang Ke Putrajaya: Meniti gelora politik.

“Ada juga tajuk-tajuk yang dulu menjadi isu panas kononnya saya ditahan dekat sebuah hotel, dalam bilik karaoke. Semua itu tak betul, jadi saya ceritakan di dalam itu (buku). Dalam buku itu banyak cerita-cerita yang kontroversi.

“Tak ada (fitnah), saya tulis perkara yang benar. Saya tak ada hendak cerita (fitnah), saya cerita apa yang benar-benar berlaku sebab saya terlibat (setiap perkara yang diceritakan),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN