PETALING JAYA: Ketidakstabilan politik Melayu mampu mengganggu gugat perpaduan nasional serta melemahkan solidariti rakyat dalam menghadapi cabaran bersama.
Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo Talib berkata, hal ini kerana perubahan landskap politik di Malaysia dipengaruhi perkembangan parti-parti politik Melayu berdasarkan sejarah sebelum ini.
Malah katanya, perubahan blok kuasa politik Melayu memberi kesan besar kepada dasar- utama seperti pendidikan, ekonomi Bumiputera dan sistem pentadbiran selain institusi Raja-Raja Melayu.
“Kepentingan Melayu Islam menjadi asas kepada landasan perpaduan dengan pendekatan berbeza antara parti dan pemimpin. Ia perlu dijaga dan seruan agar orang Melayu serta umat Islam bersatu perlu dilihat daripada perspektif yang lebih besar.
“Kesatuan majoriti iaitu orang Melayu Islam akan membawa kita kepada kestabilan politik dan memberi keuntungan kepada ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Kartini, perubahan dalam politik Melayu bukan sahaja mengubah siapa yang memerintah, tetapi juga menentukan arah dasar negara, hubungan antara kaum dan kestabilan politik jangka panjang.
“Sejarah politik negara jelas menunjukkan bahawa apabila kuasa politik Melayu stabil, dasar negara menjadi lebih konsisten dan hubungan antara kaum dapat diurus dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr. Mazlan Ali berkata, inisiatif mewujudkan Proklamasi Orang Melayu bagi memastikan kestabilan politik Melayu sebelum ini disifatkan sebagai positif, namun gagal menarik sokongan menyeluruh berikutan perbezaan ideologi politik dan realiti semasa.
Katanya, pelaksanaannya turut menimbulkan persoalan apabila hanya disertai parti pembangkang, sehingga dilihat segelintir pihak sebagai agenda politik partisan dan bukannya usaha kolektif seluruh bangsa Melayu.
“Tujuan asal mungkin murni, tapi apabila hanya satu pihak politik terlibat, ia mudah ditafsir sebagai pertembungan kuasa, bukan usaha perpaduan,” jelasnya.
Bagaimanapun kata Mazlan, pendekatan dan naratif proklamasi yang terlalu menekankan elemen Melayu Islam secara eksklusif menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Katanya, hal ini kerana dalam iklim politik dan sosial semasa, rakyat Malaysia lebih cenderung kepada pendekatan inklusif dan bekerjasama merentasi kaum, seperti yang pernah berjaya dilakukan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. – UTUSAN










