Kerajaan gagal tunjuk hala tuju jelas - Muhyiddin

Kerajaan gagal tunjuk hala tuju jelas – Muhyiddin

Hala tuju jelas
MUHYIDDIN Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kepimpinan negara ketika ini didakwa berdepan krisis berlarutan selain gagal menunjukkan kemampuan mentadbir yang baik dan tiada hala tuju jelas.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibuktikan dengan kekecewaan rakyat ketika ‘Himpunan Turun Anwar’ yang juga konsisten dengan hasil kajian Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kajian bermula 14 Jun hingga 19 Julai lalu mendapati hanya 40 peratus responden beranggapan Malaysia sedang berada di landasan yang betul.

“Hanya 37 peratus berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara, 41 peratus bagi prestasi kerajaan Madani dan hanya 33 peratus bagi prestasi Perdana Menteri. Selain itu, 53 peratus bimbang dengan peningkatan kos sara hidup dan 51 peratus menentang cadangan rasionalisasi subsidi RON95.

“Mesej rakyat Malaysia jelas dan memberi peluang cukup kepada kerajaan untuk melaksanakan janji dalam menangani masalah kos sara hidup dan menegakkan reformasi institusi. Sekarang mereka kata cukup-cukup lah,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelapan 2025, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan.

Muhyiddin berkata, segala yang berlaku kini jelas membuktikan bahawa Perdana Menteri bersama Jemaah Menterinya telah hilang arah serta tidak kompeten.

“Mereka gagal menunjukkan kemampuan mentadbir negara dan tiada hala tuju jelas. Selain itu, mereka tidak mampu melihat gambaran besar, tiada empati terhadap rakyat, tidak mesra perniagaan atau tangkas dalam menangani mahupun menyelesaikan krisis,” ujarnya.

Tambah beliau, lebih malang kerajaan kerap bersikap menafikan realiti, defensif dan enggan mengakui kesilapan.

“Segala kesalahan diletakkan kepada rakyat, kerajaan terdahulu, atau pihak lain. Sikap sebegini menjadikan Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya seumpama ‘lembu kenyang’.

“Tidak peduli pada keluh kesah rakyat dan krisis yang melanda. Kegagalan mengakui kelemahan serta sikap angkuh ‘kami sentiasa betul’ menyebabkan tiada langkah pembetulan dilakukan. Natijahnya, masalah terus berlarutan dan krisis tidak pernah diselesaikan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN