KANGAR: Selepas dua kali menolak pencalonan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akhirnya memasuki gelanggang merebut jawatan Naib Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan parti itu yang dijadual berlangsung di Kedah September ini.
Sanusi bakal berdepan Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang akan mempertahankan kedudukan masing-masing dalam pemilihan tersebut.
Kehadiran Sanusi sebagai calon baharu mengisi barisan kepemimpinan tertinggi parti itu juga menarik perhatian ramai sekali gus bakal merubah landskap persaingan.
Beliau dijangka menjadi antara pilihan untuk menang.
Sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, pengaruh dan populariti Sanusi khususnya dalam kalangan generasi muda turut memberi kelebihan kepada beliau dalam pemilihan tersebut. Malah, Sanusi juga menjadi aset cukup penting untuk parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang lebih mencabar.
Pemilihan bagi merebut jawatan Naib Presiden Pas kali ini juga dilihat menarik yang menampilkan keseimbangan calon dari golongan ulama dan kelompok profesional.
Sanusi dan Ahmad Samsuri dari golongan profesional manakala Idris dan Mohd. Amar dalam kalangan ulama.
Jika Sanusi mampu menembusi ke kerusi Naib Presiden selain Ahmad Samsuri yang dijangka kekal, ia memberi gambaran positif keterbukaan Pas terhadap pembaharuan parti itu tanpa mengetepikan tradisi.
Ia juga bakal menyaksikan ‘top 5’ Pas selepas ini, seimbang dalam kalangan kelompok ulama dan profesional dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka kekal sebagai Presiden dan Timbalan parti itu.
Perkembangan tersebut bakal memperlihat tranformasi di dalam Pas yang bukan sahaja akan memperkukuhkan organisasi parti, malah ke arah mendepani realiti politik baharu dengan barisan kepemimpinan lebih segar dalam kalangan ulama berpengalaman dan profesional.
Bagi jawatan tiga Naib Presiden, persaingan dijangka sengit dengan Ahmad Samsuri dan Mohd. Amar diramal mampu mengekalkan kedudukan selain Sanusi dilihat sebagai pemimpin baharu boleh mengisi jawatan itu.
Gandingan Ahmad Samsuri dan Sanusi dalam kalangan profesional serta Mohd Amar dilihat mampu memberi kelebihan kepada Pas memandangkan ketiga-tiga tokoh berkenaan mempunyai kelebihan dan aura tersendiri.
Ahmad Samsuri dan Sanusi merupakan pemimpin masa depan Pas dengan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebelum ini juga pernah disebut-sebut antara calon Perdana Menteri pertama dari parti itu.
Manakala, pengalaman dan kelantangan Mohd. Amar juga masih diperlukan di dalam parti bagi mendepani pihak lawan khususnya cabaran dari DAP.
Dalam pada itu, pertandingan bagi merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat melibatkan 38 calon juga bakal menarik perhatian khususnya dengan kehadiran beberapa calon seperti Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli. – UTUSAN










