PUTRAJAYA: UMNO mahu calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mahir dan menguasai penggunaan media sosial bagi menghadapi kempen pilihan raya negeri dijangka akhir tahun ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, arahan itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini.
Beliau berkata, UMNO sudah mengeluarkan buku panduan bagi PRN Sabah dan ia memuatkan aspek penggunaan media sosial oleh calon-calon ketika berkempen.
“Kita berharap calon-calon akan ada pasukan mereka sendiri (menjalani) latihan demi latihan. Kita sudah melaksanakan banyak program di Sabah membabitkan penerangan sejak dua tahun lalu,” katanya ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini, hari ini.
Ketika berucap di Majlis Pelancaran Manual Gerak Kerja Penerangan UMNO Malaysia/Barisan Nasional (BN), di Kota Kinabalu semalam, Azalina menegaskan media sosial akan menjadi medan utama dalam menghadapi PRN Sabah.
Jelasnya lagi, perkembangan teknologi komunikasi yang begitu pantas menuntut jentera penerangan parti menjadi lebih bersedia dalam berdepan cabaran perang politik di alam maya. – UTUSAN










