KUALA LUMPUR: MIC dilihat tidak mempunyai peluang untuk bersama Perikatan Nasional (PN) berikutan gabungan itu didominasi Pas dan Bersatu yang membawa agenda Melayu-Islam sekali gus menyukarkan parti tersebut menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, kedudukan PN yang ditunjangi majoriti pengundi Melayu menyebabkan masyarakat bukan Melayu termasuk India tidak cenderung menyokong gabungan itu.
Namun, beliau berkata, keputusan MIC mengulangi komitmen untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sudah dijangka berdasarkan pengalaman sejarah parti tersebut.
Katanya, MIC tidak dapat dipisahkan daripada Barisan Nasional (BN) kerana parti itu bergantung sepenuhnya kepada sokongan BN untuk terus kekal relevan.
“Sekiranya MIC memilih untuk bersama PN, nasibnya mungkin sama seperti Gerakan yang akhirnya kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu dan tidak mampu memberi sumbangan besar kepada gabungan itu.
“Di Malaysia, tiada satu pun kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi India. Kehadiran MIC dalam Parlimen atau DUN adalah hasil ihsan UMNO yang memberikan peluang kepada calon MIC bertanding di kawasan majoriti Melayu dengan sokongan penuh BN.
“Oleh kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini komited bersama Kerajaan Perpaduan, maka MIC juga tiada pilihan selain kekal bersama BN dan seterusnya Kerajaan Madani. Jika tidak, MIC hampir tidak mempunyai peluang untuk menang di mana-mana kerusi yang ditandingi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan, menyertai PN adalah pertimbangan politik paling realistik boleh dilakukan MCA dan MIC bagi meneruskan survival mereka menjelang PRU ke-16.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran sebelum ini turut menegaskan, parti itu tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti lain demi memastikan kelangsungan dan masa depan MIC terus terjamin.
Semalam, MIC menegaskan pendiriannya untuk terus mendukung kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga PRU akan datang meskipun wujud perbincangan tidak rasmi dengan PN.
Selain itu, Mazlan berkata, sokongan masyarakat India terhadap MIC juga semakin merosot apabila sebahagian besar pengundi kini lebih cenderung menyokong parti lain seperti PKR dan DAP, malah dalam Amanah juga terdapat wakil India selain kewujudan parti-parti kecil lain yang turut mendapat sokongan daripada golongan itu.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, tindakan MIC menyatakan sokongan terhadap kerajaan tetapi pada masa sama tetap menegaskan kedudukan dalam BN boleh dianggap sebagai permainan politik.
Katanya, langkah itu menggambarkan MIC seolah-olah berada dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kedudukan politik mereka.
“Inilah strategi politik MIC yang dilihat lebih mementingkan survival sendiri berbanding kepentingan keseluruhan Kerajaan Perpaduan.
“Persoalannya, jika benar MIC menyokong Kerajaan Perpaduan, mengapa mereka tidak secara jelas menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang merupakan tonggak utama kerajaan bersama BN,” katanya. – UTUSAN










