BN perlu tambah majoriti untuk jadi dominan

Barisan Nasional (BN) perlu tambah majoriti untuk jadi dominan

Kemenangan Barisan Nasonal (BN) dalam PRK DUN Mahkota menjadi momentum untuk menghadapi PRU16 tetapi belum cukup membolehkannya menang di 60 kerusi Parlimen dan menjadi dominan dalam kerajaan perpaduan. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu mencari jalan untuk menjadi lebih dominan di antara parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan. 

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, ketika ini momentum BN semakin positif selepas memperoleh kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota, namun belum mencukupi jika mahu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya menang 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 akan datang.

“Jika dahulu UMNO merosot disebabkan faktor integriti, politik wang dan sebagainya, tetapi imej itu dapat dipulihkan apabila Perdana Menteri konsisten melawan rasuah.

“Dalam masa sama, BN perlu ingat keadaan tidak sama seperti dulu. 20 tahun dulu rakyat tiada pilihan sebab itu hanya menyokong BN,  tetapi sekarang tidak. Istilah dalam sains politiknya, mereka adalah pengguna politik, mereka akan pilih parti mana yang bagus dan pengundi muda khususnya tidak terikat dengan satu parti sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin BN diingatkan supaya melepaskan ego kepartian demi mencapai matlamat lebih besar iaitu kepentingan politik negara sekali gus diterima seluruh peringkat kumpulan rakyat. 

Jelas Ahmad Zahid, BN mesti bersedia mencipta perubahan melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politiknya dan melihat dari sudut pandang lebih luas. 

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, dengan kemenangan itu membolehkan BN kembali terus bangkit dan memegang jawatan Perdana Menteri, namun mengekalkan kerjasama yang ada pada hari ini di antara BN dengan 18 parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“BN boleh kembali dominan sebab PH kuat di kawasan campuran, kawasan Melayu sudah pasti akan ditandingi UMNO dan mengikut perkiraan, UMNO akan diberi ruang untuk bertanding 70 kerusi Melayu. Tetapi UMNO perlu berusaha lebih untuk menawan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu sebab  PH tidak boleh bertanding di situ.

“Untuk sekarang, Perdana Menteri daripada PH sebab memperoleh kerusi paling banyak iaitu 82 kerusi, BN 30 kerusi. Tetapi selepas ini, BN dapat 60 kerusi, BN akan dominan dan boleh memegang jawatan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×