PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mempunyai perancangan Untuk melaksanakan sistem e-undi dalam pilihan raya di negara ini.
Selain itu, rakyat Malaysia juga masih menganggap pengundian tradisional lebih telus dan wujud keraguan ketelusan dalam sistem e-undi yang dikhuatiri mudah dimanipulasi.
Faktor di atas menurut penganalisis politik menyebabkan e-undi masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini meskipun ia berpotensi meningkatan penglibatan pengundi muda dan menjimatkan kos.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, walaupun sistem e-undi boleh mempercepatkan proses pengundian dan mengurangkan kos, terdapat pelbagai cabaran teknikal serta logistik yang perlu ditangani.
“Jika sistem e-undi dilaksanakan, ia berpotensi meningkatkan kadar keluar mengundi terutama dalam kalangan pengundi muda yang mahir menggunakan aplikasi digital.
“Bagaimanapun, rakyat Malaysia masih belum bersedia dan banyak isu perlu diambil kira kerana SPR masih mengendalikan pilihan raya secara tradisional,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kos pelaksanaan sistem e-undi tetap tinggi kerana memerlukan peralatan dan logistik di tempat pengundian.
“Saya pernah berbincang dengan SPR dan mereka berpendapat cara manual atau tradisional lebih sesuai kerana kos diperlukan juga tinggi.
“Selain itu, pengundi berumur juga sukar menggunakan sistem e-undi kerana kurang memahami proses pengimbasan dan pengisian maklumat,” katanya.
Tambah beliau, jika sistem e-undi dibenarkan dilakukan di rumah atau mana-mana lokasi, ia berisiko dimanipulasi dan dipengaruhi pihak lain.
Katanya, negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) sesuai melaksanakan sistem e-undi tetapi keadaan di Malaysia khususnya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai capaian internet menjadikan sistem e-undi sukar dilaksanakan.
“Rakyat Malaysia masih kurang percaya kepada sistem e-undi. Sebagai contoh, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggunakan e-undi menerima banyak kritikan apabila pihak yang kalah mempersoalkan keputusan,” katanya. – UTUSAN










