PETALING JAYA: UMNO Kedah menyifatkan keputusan MIC negeri itu meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda parti tersebut tidak lagi mahu bersama dalam usaha memperkukuh Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya tidak gentar dengan perubahan landskap politik meskipun membabitkan perpisahan dengan parti komponen.
“Sejarah membuktikan BN Kedah mampu berdiri teguh, bergerak ke hadapan dan terus mendapat mandat rakyat walaupun tanpa bantuan mereka yang memilih berpaling arah.
“MIC Kedah bebas membuat pilihan politik sendiri, namun apabila pintu ini dibuka untuk keluar, jangan suatu hari nanti menuntut ruang atau kerusi dalam BN selepas menyokong pihak lawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, UMNO Kedah tidak akan merayu atau mengemis sokongan daripada mana-mana pihak yang sudah membuat pilihan untuk meninggalkan BN.
Katanya, MIC Kedah mungkin telah membuat perkiraan yang dianggap terbaik untuk masa depan politik parti itu bagi menambah kerusi pada pilihan raya akan datang.
“BN Kedah akan terus bergerak, membina kekuatan sendiri dan memastikan mandat rakyat terpelihara. Kehilangan rakan yang tidak lagi sehaluan bukanlah kerugian, sebaliknya peluang untuk bergerak lebih laju dan fokus tanpa beban menjaga hati pihak yang sudah tidak bersama,” katanya.
Semalam, Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh dilaporkan berkata, usul kerjasama dengan PN telah diluluskan dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada BN.
Bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kepemimpinan pusat MIC diterajui Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran. – UTUSAN










