KUALA SELANGOR: Pembangkang Selangor mengemukakan dua usul tergempar termasuk petisyen penduduk berhubung tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bermula esok.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua usul tersebut sudah pun dikemukakan kepada Speaker pada Jumaat lalu untuk dibentang dan dibahaskan pada sidang kali ini.
Menurutnya, usul tersebut dikemukakan mengikut Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Dewan Negeri Selangor 1965 dan petisyen atau rayuan di bawah Perkara 18(1) selain satu sidang khas di bawah Perkara 10(3).
“Kita meneliti laporan yang dikeluarkan. Kita tidak berpuas hati kerana banyak perkara kritikal tidak terjawab. Sebagai contoh, banyak bukti dikemukakan oleh penduduk mengenai kewujudan jentera-jentera berat di tapak sebelum kejadian. Tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
“Kita juga ingin tahu tentang pencerobohan tapak berkenaan. Siapa yang bertanggungjawab? Kita juga ingin melihat apakah sistem pemantauan dibuat secara berkala sama ada oleh Petronas mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melihat sebarang pergerakan tanah,” katanya, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Srikandi dan Bahagian Parti Bersatu Bahagian Kuala Selangor 2025, hari ini.
Jelas Azmin, petisyen dan rayuan di bawah Perkara 18(1) belum pernah digunakan oleh mana-mana dewan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin mendapatkan 20 mangsa bersetuju untuk mengemukakan petisyen.
Malah, beliau juga membantah pelaksanaan taklimat secara tertutup kepada wakil rakyat yang sepatutnya ia dibentangkan dalam Sidang DUN.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan taklimat khas insiden letupan saluran paip gas Putra Heights kepada semua ahli parlimen dan ADUN Selangor akan diadakan selepas selesai hari pertama Sidang DUN esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, banyak maklumat teknikal yang memerlukan pasukan penyiasat akan memberikan penjelasan kepada wakil rakyat negeri ini, supaya maklumat yang diperoleh mereka adalah tepat.
Azmin menambah, beliau berasa kesal selepas mendapat makluman Sidang DUN pertengahan tahun pada kali ini mungkin akan berlangsung selama dua hari berbanding tempoh yang sudah pun diwartakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu pada 7 hingga 18 Julai.
“Berdasarkan Kertas-Kertas Aturan Mesyuarat yang diperolehi, kami dapati ada satu sahaja Rang Undang-Undang (RUU) oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkaitan pengukuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita mendukung, tetapi perbahasannya pasti pendek.
“Kemudian ada usul Tabung Amanah Kilang Haram. Mengapa tidak dibentangkan laporan (tragedi Putra Heights)? Jika berdasarkan dokumen tersebut (Kertas-Kertas Aturan Mesyuarat) kita merasakan (sidang) tidak lebih dua hari. Itu satu kerugian kepada rakyat Selangor,” tegasnya.
Katanya lagi, beliau menjangkakan hanya tiga soalan daripada pembangkang akan diangkat dalam Sidang DUN berbanding 420 soalan yang dikemukakan untuk dijawab oleh kerajaan negeri. – UTUSAN