GOMBAK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pelantikan menteri yang menjalankan tugas secara sementara di kementerian lain atau ‘covering minister’ merupakan amalan biasa dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini memangku tugas di kementerian lain susulan kekosongan jawatan menteri.
“Datuk Seri Amir Hamzah dan Datuk Seri Johari sekadar menjalankan tugas sementara di kementerian lain. Saya sendiri pernah menjalankan tugas serupa dahulu.
“Jadi, ia bukan sesuatu yang luar biasa atau pelik dalam sesebuah kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang Kali Ke-37 Tahun 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini Amir Hamzah dilantik menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu.
Manakala, Johari iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi pula dipilih bagi menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkuat kuasa serta-merta.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Menteri NRES kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 4 Julai lalu. – UTUSAN