Himpunan di Suka Menanti ambil semangat Kedah lawan Siam

Himpunan di Suka Menanti ambil semangat Kedah lawan Siam

MUHAMMAD Sanusi Md Nor sewaktu berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah malam tadi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan Himpunan Mandat Negarawan yang diadakan di Suka Menanti, di sini amat penting sebelum menuju ke perhimpunan lebih besar yang dijadualkan di ibu negara pada 26 Julai ini.

Beliau berkata, Suka Menanti amat signifikan kepada pemimpin-pemimpin dan rakyat Kedah ketika menghadapi peperangan dengan Siam pada tahun 1821 hingga 1842 lalu.

Ujar Muhammad Sanusi, selama 20 tahun perang itu berlangsung, lokasi yang diabadikan dengan nama Suka Menanti itu adalah salah satu pusat para pemimpin pada waktu itu mengumpulkan tentera-tentera yang akan berlayar melalui Sungai Kedah.

“Mereka akan menyertai gerombolan besar yang datang dari Sumatera, Aceh, Palembang, dari Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk menyertai satu ketumbukan besar bagi membebaskan Kedah daripada cengkaman Siam Ligor. Inilah Suka Menanti.

“Pada hari ini kita berhimpun sekali lagi di Suka Menanti untuk kita pergi ke Kuala Lumpur pada 26 Julai nanti untuk tunjukkan isyarat bahawa kita akan bebaskan negara ini daripada cengkaman orang-orang yang tidak mengenal kita lagi selepas menjadi Perdana Menteri dan menteri-menteri. 

“Sekarang ini mereka tidak mendengar suara kita lagi. Mereka hanya mendengar suara tauke-tauke dan suara orang-orang yang mendatangkan kepentingan kepada mereka,” katanya pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti malam tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, banyak kebenaran yang sengaja dilindungi oleh kerajaan demi untuk menjaga kepentingan kuasa segerombolan individu yang kini sudah tidak sedar diri selepas diberi kuasa.

“Atas rasa cinta kepada rakyat dan negara ini, kita akan dengar amanat daripada negarawan yang tersohor dan tidak asing lagi untuk kita. Insya-Allah tidak ada kepentingan apa-apa kepada mereka melainkan hanya masa depan rakyat, cucu cicit kita generasi akan datang yang menjadi pedoman kepada kita semua,” katanya.

Himpunan Mandat Negarawan yang berlangsung itu merupakan pra jelajah diatur PN sebelum menuju ke Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN