ALOR SETAR: Stadium Darul Aman kembali bergema seperti era kegemilangan Double Treble apabila lebih 18,000 penyokong Hijau Kuning membanjiri venue keramat itu bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Ex Double Treble Kedah dan Ex Malaysia Legend, malam tadi.
Sorakan penyokong bergema segenap penjuru stadium, mengembalikan memori manis zaman keemasan bola sepak negeri itu ketika Kedah gah merangkul dua kejuaraan treble berturut-turut pada 2007 dan 2008 di bawah kendalian Allahyarham Azraai Khor Abdullah.
Lebih mengharukan, kemunculan semula trio import lagenda iaitu Marlon Alex James, Cornelius Bernard Huggins dan Nelson Sam Martin yang mencetuskan suasana penuh emosi dalam kalangan penyokong seolah-olah menonton semula kehebatan Sang Kenari hampir dua dekad lalu.
Sebahagian penyokong yang ditemui mengakui seakan kembali ke tahun gemilang Kedah apabila menyaksikan semula wajah-wajah yang pernah mengharumkan nama negeri di persada bola sepak tempatan.
“Saya terasa macam kembali ke tahun 2008. Suasana, sorakan dan semangatnya masih sama. Kami rindu saat Kedah digeruni lawan,” kata Mohd. Fadzli Ahmad, 42, yang datang bersama keluarganya dari Kuala Nerang.
Seorang lagi penyokong setia, Noramira Ishak, 34, berkata, dia pulang dari Kuala Lumpur semata-mata mahu merasai kembali kehangatan Stadium Darul Aman yang menjadi simbol kebanggaan rakyat Kedah.
“Saya dulu pelajar sekolah masa Kedah menang Double Treble. Malam ini rasa sebak bila tengok mereka semua berkumpul semula. Harap semangat ni boleh kembali kepada pasukan sekarang,” katanya.
Dalam aksi penuh mesra itu, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan menghiburkan dengan Marlon dan Baddrol Bakhtiar antara yang menjadi tumpuan penyokong Kedah.

Malah, setiap kali pemain berasal dari Saints Vincent and Grenadines itu menyentuh bola, sorakan membingit menandakan betapa besar pengaruhnya dalam hati peminat Hijau Kuning.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 sebelum kemenangan ditentukan melalui tendangan penalti yang memihak kepada Ex Double Treble Kedah 4-3 sekali gus membawa pulang Piala CT Global Legend Cup 2025.
Skuad legenda Kedah turut menampilkan Khyril Muhymeen; Victor Andrag; Ahmad Fauzi Shaari; Helmi Eliza Elias dan K. Soley sementara Ex Malaysia Legend diperkuatkan antaranya Amri Yahya; Khalid Jamlus; Indra Putra Mahyudin; Safiq Rahim dan Norshahrul Idlan Talaha.
Turut hadir ke Stadium Darul Aman ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Radhi Mat Din yang juga Jurulatih Ex Double Treble Kedah serta Datuk K. Rajagobal yang membimbing Ex Malaysia Legend. – UTUSAN










