Dalam PN dah sejuk, PH-BN akan runtuh dulu - Sanusi

Dalam PN dah sejuk, PH-BN akan runtuh dulu – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan Perikatan Nasional (PN) sedang bergolak gara-gara isu calon Perdana Menteri beberapa minggu lalu.

Beliau yang turut bertanggungjawab bagi jawatan sama dalam PN berkata, tiada apa-apa pertelingkahan atau pergaduhan berlaku dalam gabungan itu seperti digembar-gemburkan pihak lain.

“Dah selesai dah, habis dah, sejuk dah. Jangan dipanaskan lagi, di sini ada (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bersatu. Semua baik sahaja kerana persepsi itu tak mampu dipanjangkan lagi kerana tak ada apa-apa,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran NCT Innosphere di sini, hari ini. 

Pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 pertengahan bulan ini, isu calon Perdana Menteri dan Pas mengetuai PN menjadi antara topik dibahaskan perwakilan selain menjadi usul dibawa Pemuda Pas.

Ia susulan sekutu mereka sebelum itu meluluskan usul menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 ketika Persidangan Agung Tahunan (PAT) parti berkenaan.

Tambah beliau, teguran tentang perbelanjaan untuk membiayai kempen pilihan raya yang dibangkitkan beliau ketika hari terakhir Muktamar Pas itu juga disifatkan hanya teguran biasa.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan runtuh terlebih dahulu dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi detik permulaan.

“PN mampu bertahan sampai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tetapi PH dan BN yang akan runtuh dulu apatah lagi dengan perkembangan pilihan raya di Sabah. PN belum bincang lagi (PRN Sabah) sebab sedang tengok mereka berkelahi,” katanya.

Beliau berkata, tidak mudah untuk menguruskan gabungan politik baharu ketika ini memandangkan pola yang berbeza berbanding dahulu.

“Kena buat penyelarasan tak kira sama ada PH dengan BN mahu pun Pas dan Bersatu dalam PN kena ada anjakkan kerana suasana politik hari ini lebih kompleks terutama di Sabah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN