Hanya sentimen politik kebencian di Himpunan Turun Anwar

Hanya sentimen politik kebencian di Himpunan Turun Anwar

ANWAR Ibrahim (dua dari kiri) hadir pada Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden PKR Wilayah Persekutuan di PICC, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Himpunan yang dianjurkan pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam hanyalah medan sentimen politik kebencian semata-mata dan tidak berlandaskan fakta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat seharusnya melihat dan menilai inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan mengikut fakta sebenar.

Beliau berkata, pembangkang sebenarnya tidak mempunyai sebarang cadangan yang bernas bagi membantu rakyat, namun hanya mahu melihat dirinya berundur.

“Saya dah ucap terima kasih, semua selesai dengan aman, saya tengok isu-isu yang dibangkit, ada tak cadangan ekonomi, cadangan pendidikan, cadangan perpaduan, cadangan kestabilan negara, tak ada. 

“Yang ada suruh turun Anwar, tadi saya dah turun ke Muar, hari ini saya turun ke Wilayah (Persekutuan), minggu depan saya turun ke Kelantan.

“(Kita) negara bebas (dan) demokratik, cuma kita harus beri penjelasan dalam interview itu (bercakap kepada media) minyak naik, padahal minyak turun, kemudian garam naik (dan) pelbagai (lagi).

“Maknanya ini hanya sentimen politik kebencian sahaja, ia tidak ikut fakta. Jadi kita cadang supaya rakyat umumnya menilai ikut fakta dan tengok,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat pada Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Polis menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, himpunan itu berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada awalnya.

Perdana Menteri mengakui bahawa pentadbirannya tidak sempurna, namun Kerajaan Madani bersedia memperbaiki segala kelemahan dan menerima sebarang cadangan.

“Kalau ada kelemahan kita boleh perbaiki, saya tak katakan yang kita lakukan ini perfect (sempurna) tapi kita sentiasa dengar dan ubah suai apa yang perlu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN