PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal bagi menjamin kestabilan politik negara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohd. Rafizi Ramli berkata, sebarang pertukaran kerajaan ketika ini boleh menjejaskan usaha untuk menangani ketidaktentuan ekonomi termasuk unjuran pertumbuhan yang semakin perlahan di seluruh rantau ASEAN.
“Kita tak boleh tukar kerajaan sekarang kerana kita sedang berdepan cabaran ekonomi yang serius,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina diramalkan akan mengalami penurunan kadar pertumbuhan antara dua hingga tiga peratus.
Menurutnya, jika Malaysia turut mencatat pertumbuhan serendah tiga peratus atau kurang, ia boleh membawa risiko besar kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Kerajaan yang stabil amat diperlukan bagi mengurus cabaran ini dan menyempurnakan penggal pentadbiran lima tahun yang bermula hujung 2022,” ujarnya.
Pada masa sama, pihak pembangkang merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai ini bagi mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Penganjur menjangkakan kehadiran sehingga 300,000 peserta iaitu meningkat daripada sasaran awal seramai 50,000 orang.
Perkembangan itu turut dikaitkan dengan kenyataan Anwar semalam bahawa beliau tidak bercadang mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen PKR yang menyuarakan pandangan berbeza mengenai isu pelantikan kehakiman.
Terdahulu, 19 bahagian PKR di Johor menggesa Rafizi dan lapan lagi Ahli Parlimen digantung selepas mereka mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta satu pendengaran khas Parlimen berhubung kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi.
Sembilan Ahli Parlimen itu mendakwa isu berkenaan merupakan satu krisis perlembagaan, namun dakwaan itu dinafikan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyatakan proses pelantikan berjalan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan bagi menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bakal bersara.
Ketiga-tiga mereka dijadual mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan di Istana Negara pada 28 Julai ini. – UTUSAN










