Saya gembira di Kementerian Perladangan dan Komoditi - Johari

Saya gembira di Kementerian Perladangan dan Komoditi – Johari

JOHARI Abdul Ghani di samping Pengerusi UMNO Kedah merangkap Ketua Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap, di Naka Padang Terap hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: “Itu bukan hak saya. Saya gembira di Kementerian Perladangan dan Komoditi.” 

Demikian reaksi Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkaitan spekulasi bahawa beliau bakal dilantik memegang portfolio Menteri Ekonomi.

Johari menegaskan, beliau berbangga menerajui kementerian tersebut yang memberi peluang untuk menabur bakti bukan sahaja kepada masyarakat luar bandar malah dalam kalangan pemain-pemain industri komoditi untuk menjana eksport negara.

“Contohnya, kelapa sawit, kita merupakan pengeluar kedua terbesar, eksport kita RM114 bilion pada tahun lepas. Koko kita eksport RM15 bilion. Walaupun kita pengeluar koko yang kecil tetapi kita proses dan import iaitu nilai tambah. 

“Begitu juga produk getah merupakan hasil daripada penyelidikan dan pembangunan sejak puluhan tahun lalu. Hari ini kita antara pengeksport getah terbesar dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Terap di Naka dekat sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan nama Johari antara yang disebut-sebut terlibat dalam rombakan Kabinet ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha pembangunan industri oleh kerajaan sebelum ini, khususnya semasa era pentadbiran Barisan Nasional, dan menegaskan komitmen untuk meneruskannya.

Johari bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung spekulasi tersebut sebaliknya menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua orang nak jadi menteri, itu hak masing-masing, kena tanya Perdana Menteri. Saya rasa kerajaan ini sangat harmoni. Saya nampak tidak ada perkara besar yang berlaku dan keseimbangan itu ada. Jadi, kita teruskan kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN